[{"title": "Peranan_Kerajaan_dalam_menanggani_Penyakit_Berjangkit", "content": "Selang beberapa tahun kemudian pula, kita sekali lagi dikejutkan dengan kes-kes kematian yang berpunca daripada selesema babi atau lebih dikenali sebagai H1N1. Jadi, pelbagai tindakan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan rakyat untuk mengekang penyakit ini daripada terus berleluasa seperti parasit.", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}, {"title": "Menyebarkan_maklumat_penyakit_berjangkit", "content": "Tindakan awal ialah kerajaan perlu menyebarkan maklumat tentang penyakit berjangkit tersebut untuk makluman rakyat. Kementerian Kesihatan Malaysia perlu lebih proaktif untuk menjana maklumat melalui pelbagai saluran media massa. Pemberian maklumat sebegini memudahkan rakyat untuk memahami cara-cara penyakit ini boleh berjangkit lalu mengambil tindakan keselamatan peribadi pula. Oleh itu, pemberian maklumat oleh pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha mengawal penularan penyakit berbahaya ini kerana\u00a0mencegah lebih baik daripada mengubati.", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}, {"title": "Pengawalan_pintu_masuk_ke_negara", "content": "Pada masa yang sama semua pintu masuk ke negara ini baik menerusi jalan darat, laut dan udara perlu dikawal ketat. Semua orang yang ingin memasuki negara ini perlu diimbas secara terperinci agar kuman yang mampu menyebarkan virus tersebut dapat dikawal. Tindakan ini juga berupaya untuk menghalang sebarang virus dari negara ini untuk keluar ke negara jiran pula lalu menghalang berlakunya penularan wabak penyakit. Sesungguhnya, kawalan ketat di pintu-pintu masuk negara menjadi\u00a0benteng kukuh\u00a0menghalang penularan penyakit berjangkit.", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}, {"title": "Mengkuarantinkan_pelancong_yang_mempunyai_simptom", "content": "Berkaitan dengan kawalan di pintu masuk negara ini, sesiapa sahaja terutama pelancong yang didapati mengalami simptom-simptom penyakit berjangkit perlu dikuarantinkan di tempat yang selamat sebagai\u00a0langkah kanan. Tindakan ini boleh menghalang sebarang penularan wabak penyakit itu kerana mereka hanya akan dibebaskan setelah didapati bebas daripada penyakit berbahaya tersebut. Penyakit berbahaya mudah dikawal jika sumber penularannya berjaya dikesan dan dimusnahkan terlebih dahulu. Oleh itu, tindakan membuat kuarantin ini menjadi satu tindakan yang paling radikal tetapi rasional dalam usaha menyelamatkan jutaan manusia yang lainnya.", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}, {"title": "Menjaga_kebersihan_diri", "content": "Malahan, rakyat juga perlu menjaga kebersihan diri dengan lebih serius. Mereka perlu mengurangkan masa berada di luar rumah supaya tidak mudah terdedah kepada mereka yang sudah menerima penyakit berbahaya ini. Kita harus sedar bahawa jangkitan penyakit sebegini boleh berlaku dalam\u00a0sekelip mata\u00a0seperti menyedut udara yang mempunyai bersin mereka yang mengalami penyakit tersebut. Jadi, kualiti penjagaan diri yang tinggi berupaya menghalang penularan penyakit yang berbahaya ini ke dalam masyarakat kita.", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}, {"title": "Mematuhi_arahan_Kementerian_Kesihatan", "content": "Rakyat juga harus mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan. Arahan yang disiarkan menerusi media massa harus diberi perhatian oleh kita semua terutama aspek penyebaran penyakit dan cara-cara menghalangnya. Maklumat yang disiarkan melalui media massa ini juga turut memberikan kita semua satu kelebihan untuk bertindak apabila sesuatu keadaan cemas berlaku.", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}, {"title": "Penutup_Karangan_Penyakit_Berjangkit", "content": "Ringkasnya, rakyat harus percaya dengan tindakan kerajaan dalam usaha mengawal merebaknya penyakit berbahaya di negara ini. Rakyat perlu sedar bahawa penyakit berjangkit yang sedang melanda dunia ini amat berbahaya kepada masyarakat global. Semua yang sudah berlaku membuktikan bahawa tidak ada sesiapa yang terkecuali daripada kemungkinan mendapat penyakit ini. Tindakan yang berani dan tegas sahaja berupaya menghalang wabak ini daripada terus berlaku.\u00a0Bak kata orang tua-tua hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, memberitahu kita betapa pentingnya sikap berusaha mengatasi penularan penyakit ini dilaksanakan dahulu. Contoh Karangan: Langkah mengatasi kanser serviks", "url": "https://karangan.net/contoh-karangan-spm-penyakit-berjangkit/"}]